Home Politik PRN Johor: Pejuang wajibkan calon jalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah

PRN Johor: Pejuang wajibkan calon jalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah

Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Pertama kali turun padang dan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini mewajibkan semua calonnya menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ujian itu bagi memastikan calonnya adalah calon yang bersih.

Malah kata Mukhriz, pihaknya juga tidak mahu calon-calon yang diketengahkan kelak terlibat dengan rasuah serta mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi berbanding calon-calon lain.

“Ujian ini juga merupakan komitmen Parti Pejuang Tanahair untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan pada masa yang sama menzahirkan hasrat Parti Pejuang untuk mengubah nasib bangsa dan negara dengan menjamin masa depan yang bebas rasuah, berintegriti serta mengembalikan kegemilangan Malaysia yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Buat masa ini, Pejuang difahamkan masih belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam PRN Johor.

Tahun lalu, Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, ahli politik negara termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diseru mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur tahap integriti masing-masing.

Malah katanya, calon yang serius untuk membanteras rasuah dalam politik negara seharusnya menggunakan peluang tersebut kerana ia bukan sahaja dapat menilai kredibiliti masing-masing, tetapi berupaya memberikan nilai tambah bagi memberi keyakinan kepada pengundi.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – MalaysiaGazette