Home Nasional PRN Johor: Senarai calon BN belum dimuktamadkan – Hasni

PRN Johor: Senarai calon BN belum dimuktamadkan – Hasni

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad hadir pada Majlis Pelancaran Common Ground Iskandar Space di Bandar Medini, iskandar Puteri, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2022.

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, senarai calon yang akan bertanding masih belum dimuktamadkan.

Menurut beliau, selain parti komponen, pihaknya turut mempertimbangkan agihan kerusi kepada parti yang mesra BN.

“Kita sudah maklum 26 Februari adalah hari penamaan calon, jadi mungkin dua atau tiga hari sebelum itu kita akan umumkan calon-calon yang akan bertanding mewakili BN.

“Kita mendengar apa yang disuarakan rakyat yang mahukan calon muka baharu, golongan profesional, wanita dan juga orang muda, kita dengar saranan mereka jadi tunggulah sehingga pengumuman dibuat.

“Soal peratusan calon muka baharu sukar untuk saya tetapkan seperti mana yang dilakukan di PRN Melaka lalu kerana Johor dua kali ganda besar, jadi ramai calon yang perlu dikenal pasti,” katanya selepas merasmikan Common Ground Iskandar Space di Medini 6, di sini, hari ini.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari ini.

Sementara itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, beliau akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

“Saya akan meneruskan perjuangan saya di Benut dan BN akan bertanding di kesemua kerusi DUN,” ujarnya. – MalaysiaGazette