KUALA LUMPUR – Mulai esok, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah tidak diwajibkan.
Namun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.
Langkah ini selari dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan baru-baru ini yang memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari 2022.
Namun, sebagai langkah keselamatan, ibu bapa/penjaga dimohon untuk memastikan anak/anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.
KPM dalam kenyataan berkata, murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.
Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.
KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengannya. – MalaysiaGazette