Home Nasional Kerajaan jangan layan MEF bantah gaji minimum RM1, 500 – MHO

Kerajaan jangan layan MEF bantah gaji minimum RM1, 500 – MHO

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) membantah kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang tidak bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 atas alasan ia menjejaskan proses pemulihan ekonomi.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya membantah kenyataan MEF dan merasakan kenaikan itu sesuai ketika ini selepas rakyat sudah melalui pelbagai cabaran akibat pandemik sekaligus  berdepan dengan ‘pandemik ekonomi’.

“Apakah kenaikan gaji RM1,500 ini tidak wajar sedangkan jika di lihat dalam apa jua sudut sekali pun, ianya cukup wajar dan boleh diterima. Kenaikan ini akan membawa satu kelegaan kepada rata-rata rakyat.

“Adakah kita sudah lupa bagaimana kos sara hidup semakin meningkat? Betapa sukarnya kehidupan jika gaji minimum ini tidak naik, apa akan jadi kepada kumpulan ini? Sudahlah pandemik menyebabkan hidup mereka semakin susah kini kos sara hidup semakin menghimpit kehidupan harian.

“Ingat ya, kenaikkan harga barang terutamanya barangan asas semakin hari semakin naik, jika tidak ada gaji minimum RM1,500 kesan dan kemiskinan akan terus mencengkam kehidupan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Sebelum ini, MEF mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak melaksanakan gaji minimum RM1,500 memandangkan situasi tidak sesuai dan ia bukan satu jaminan bagi menyelesaikan masalah  harga barangan dalam pasaran bagi membantu golongan pekerja.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mendakwa majoriti majikan di negara ini tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan itu kerana belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk banjir besar baru-baru ini.

Namun kata Hishamuddin lagi, bukan sahaja gaji minimum RM1,500 itu penting dan perlu dilaksanakan secepat mungkin sebaliknya jumlah itu perlu dinaikkan lagi memandangkan situasi sekarang yang cukup mendesak.

“Tetapi sudah tentu cadangan minimum RM1,500 itu kita alu-alukan dengan hati yang terbuka, selama ini jika lihat rekod perjuangan MHO, kita sangat komited dalam isu menaikkan gaji minima untuk golongan pekerja ini.

“Tolonglah, fahami keperluan golongan pekerja di bawah ini yang semakin hari semakin sukar kehidupan mereka, kerajaan perlu bantu tingkatkan kehidupan mereka sekaligus tambah baik kualiti kehidupan mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette