KUCHING – Varian COVID-19, Omicron kini disahkan telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr David Perera.
Menerusi laporan terkini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini, beliau mendedahkan dari 20 Januari hingga 6 Februari lepas, sebanyak 77 sampel kes positif telah berjaya diproses.
“Kesemua sampel dikenal pasti sebagai varian Omicron yang menunjukkan bahawa kadar pengesanan 100 peratus (varian ini) di Sarawak.
“Daripada sampel Omicron yang diproses, 71 dikenal pasti sebagai BA.1.1 dan tiga BA.1 manakala tiga lagi BA.2 yang mudah berjangkit (dikesan di Sibu, Miri dan Kuching),” katanya.
Susulan peningkatan kes dalam negara, Dr David yang juga ahli Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak turut menasihati individu yang belum mendapatkan dos penggalak agar segera berbuat demikian.
Orang ramai turut diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard kesihatan dengan ketat dan mengelakkan perhimpunan komuniti jika boleh untuk mencegah penularan lanjut. – MalaysiaGazette