Home PRN Johor Gerakan letak calon punyai tarikan fizikal, rupa paras tarik pengundi

Gerakan letak calon punyai tarikan fizikal, rupa paras tarik pengundi

Dominick Lau Hoe Chai (tengah) memberitahu Gerakan akan membariskan calon yang memiliki paras rupa menjelang PRN Johor pada 12 Mac ini.

KULAI – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bakal meletakkan calon-calon yang mempunyai tarikan fizikal dan rupa paras menarik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, faktor itu penting kerana PRN Johor dijangka akan diadakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang menyebabkan kurang interaksi bersemuka antara calon dan pengundi.

Menurutnya, paras seperti calon lelaki yang hensem dan calon wanita yang cantik penting untuk menawan hati pengundi.

“Calon-calon yang diketengahkan Gerakan mewakili Perikatan Nasional (PN) perlu memiliki rupa paras untuk menarik sokongan pengundi kerana kami jangka PRN Johor akan diadakan dengan SOP ketat.

“Calon-calon akan lebih banyak berkempen menggunakan medium media sosial, poster dan gambar-gambar, jadi adalah penting untuk calon memiliki rupa,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan Bahagian Kulai di Kelapa Sawit, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong; Pengerusi Gerakan Johor, Datuk Teo Kok Chee dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kulai, Tosrin Jarvanthi.

Dominick bagaimanapun masih merahsiakan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti berkenaan.

Sebaliknya, beliau memberitahu, mereka akan bertanding di lebih dua kerusi tetapi kurang daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Pada Pilihan Raya Umum lalu, Gerakan bertanding di satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN, jadi pada PRN Johor kali ini, kita akan meletakkan calon di lebih daripada dua kerusi tetapi kurang daripada 10 kerusi.

“Kami yakin Gerakan mempunyai sokongan kuat daripadanya masyarakat akar umbi di negeri ini bukan sahaja daripada komuniti Cina tetapi semua kaum dengan pelbagai latar belakang yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, kesemua senarai nama calon-calon PN yang bakal bertanding pada PRN Johor akan dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan kesemua calon PN adalah individu yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau sama ada melibatkan kes jenayah mahupun kes rasuah.

“Jika ada antara calon yang didapati mempunyai rekod lampau, kita akan terus buang nama berkenaan dan digantikan dengan calon baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dominick turut memaklumkan pihaknya telah mengenalpasti kerusi yang hendak ditandingi mereka dan senarai nama calon telah diserahkan kepada kepimpinan PN pusat.-MalaysiaGazette