Home Nasional MoU Pekhidmat Domestik Indonesia beri manfaat kepada rakyat – PAPSMA

MoU Pekhidmat Domestik Indonesia beri manfaat kepada rakyat – PAPSMA

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyambut baik langkah kerajaan yang mahukan memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dimeterai segera.

Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“PAPSMA menyokong penuh dan berterima kasih diatas keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah mengambil keputusan supaya memorandum persefahaman berhubung Perkhidmat Domestik Indonesia untuk segera dimeterai.

“Bagi pihak kesemua persatuan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia, kami menyambut baik keputusan ini agar keprihatinan Kerajaan dapat memberi manafaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Megat Fairouz mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang menyatakan kerajaan memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan MoU berkenaan.

Saravanan berkata, perkara mengenai PDI telah dibincangkan dengan secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat Jemaah Menteri termasuk pada 9 Februari lalu.

Tambah Saravanan, beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai matlamat yang sama iaitu melindungi serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja warga Indonesia di dalam negara terutama yang membabitkan isu gaji, cuti dan kebajikan pekerja.

MoU berkenaan akan dimeterai beliau dan rakan sejawatnya Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah.

Pada 24 Januari lalu, Kuala Lumpur dan Jakarta dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 pekerja PDI dari negara jiran itu bermula bulan ini selepas MoU ditandatangani. – MalaysiaGazette