KYIV – Lebih daripada 12 negara telah menggesa rakyat mereka meninggalkan Ukraine di tengah-tengah amaran daripada kuasa Barat bahawa pencerobohan oleh Rusia mungkin akan berlaku.
Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman adalah antara mereka yang meminta warganegara mereka meninggalkan Ukraine.
Moscow telah mengumpulkan kira-kira 100,000 tentera di sepanjang sempadan Ukraine tetapi menafikan sebarang niat untuk menyerang.
Dalam panggilan telefon, Presiden AS, Joe Biden sekali lagi memberi amaran kepada pemimpin Rusia Vladimir Putin tentang akibat sebarang pencerobohan.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pula berkata, amaran pencerobohan boleh mencetuskan panik, yang digelarnya sebagai “kawan terbaik musuh kita”.
White House telah memberi amaran pencerobohan boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh bermula dengan pengeboman dari udara.
Rusia pula menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “spekulasi provokatif”.
Kakitangan yang tidak penting telah diarah meninggalkan Kedutaan AS di ibu negara Ukraine Kyiv dan perkhidmatan konsulat akan digantung mulai Ahad, walaupun “kehadiran konsulat kecil” akan kekal di bandar barat Lviv “untuk mengendalikan kecemasan”.
Kanada juga sedang memindahkan kakitangan kedutaannya ke Lviv, berhampiran sempadan dengan Poland, lapor media Kanada.
Duta UK ke Ukraine Melinda Simmons dalama ciapannya berkata, beliau dan “pasukan teras” tinggal di Kyiv.
Rusia sendiri juga membuat perubahan, mengatakan ia akan “mengoptimumkan kakitangan” diplomatnya di Ukraine, memetik “kemungkinan tindakan provokasi oleh rejim Kyiv atau negara ketiga”.
AS juga telah menarik kira-kira 150 tentera yang sedang melatih askar Ukraine keluar dari negara itu, dengan mengambil kira sikap berhati-hati.
Manakala syarikat penerbangan Belanda KLM mengumumkan ia akan berhenti terbang ke Ukraine, berkuat kuasa serta-merta, kata media Belanda. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-60361983)