Home Nasional 16 PATI seludup masuk ikut laut dicekup

16 PATI seludup masuk ikut laut dicekup

Pendatang tanpa izin yang ditahan anggota Batalion 4 PGA Semenyih di pesisir Kampung Sungai Yu, Tanjung Karang, semalam. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi dua tangkapan berasingan di pesisir Kampung Sungai Yu, Tanjung Karang, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, anggota dari Batalion 4 PGA Semenyih melakukan dua tangkapan bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 10.30 malam.

“Tangkapan pertama melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 48 tahun manakala tangkapan kedua membabitkan dua lelaki berusia 40 dan 46 tahun.

“Pemeriksaan terhadap kesemua individu gagal menemukan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka dipercayai baru masuk ke negara ini menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rizal, kesemua PATI itu kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kuala Selangor bagi tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya lagi, individu yang ditahan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan wabak dalam kalangan pesalah dan anggota yang bertugas.

Dalam pada itu, Rizal turut menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette