Home Seni Hidup Adam, anak austime dan keluarga terpaksa pindah rumah

Adam, anak austime dan keluarga terpaksa pindah rumah

Iman Wan (kiri) dan anaknya, Adam. Foto Instragram adamsautismfamily.

KUALA LUMPUR – Keluarga Adam terpaksa berpindah rumah selepas tuan rumah tidak menyambung kontrak sewa mereka.

Khabar duka itu dikongsikan oleh bapa kepada Adam iaitu Iman Wan.

Iman Wan yang juga seorang komposer berkata, kontrak itu dipercayai tidak disambung kerana tuan rumah tertekan dengan aduan diterima daripada jiran-jiran.

“Kepada jiran di kiri dan kanan kami di Temasya Suria. Kami tahu apa yang anda lakukan dan kami tahu anda orang yang macam mana. Tapi jangan bimbang, impian anda sudah jadi kenyataan.

“Mohon maaf untuk semua ketidakselesaan yang ditimbulkan. Semoga anda mendapat ketenangan dan kehidupan yang baik selepas ini,” tulisnya.

Foto Instragram adamsautismfamily.

Sementara itu, dalam hantaranya,  Iman Wan berkata, Adam tidak membuat bising setiap masa.

Jelasnya lagi, tujuan dia berkongsi perkara itu untuk memberitahu tidak semua orang boleh menerima anak autisme.

“Untuk rekod, Adam tidak bising setiap hari, dan walaupun dia berbuat demikian, tak pernah dari subuh hingga malam.

“Kami mendapat tahu daripada sumber dipercayai sebab sewa kami tidak akan diperbaharui kerana pemilik tertekan sepanjang tahun susulan aduan yang dibuat oleh dua jiran kami kepadanya.

“Saya percaya Allah mempunyai perancangan yang lebih baik. Kami reda. Sebab saya membuat perkongsian ini adalah supaya keluarga yang mempunyai keadaan yang sama akan tahu bahawa tidak semua orang boleh menerima individu autistik seperti anak kami,” katanya.

Untuk rekod, anak kedua Iman, Adam telah disahkan menghidap ‘Autism Spectrum Disorder’ (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) sejak berusia dua tahun enam bulan. – MalaysiaGazette