Home Nasional Bomba berjaya pujuk lelaki dari terjun sungai

Bomba berjaya pujuk lelaki dari terjun sungai

Anggota BBP Pelabuhan Klang memujuk seorang lelaki yang cuba terjun ke dalam sungai dari penghadang jalan di Jambatan Jalan Kem malam tadi.

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki dari terjun ke dalam sungai di Jambatan Jalan Kem, Pelabuhan Klang, malam tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 10.40 malam.

Menurut beliau, seorang pegawai dan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat seorang lelaki berada di atas penghadang jalan dan berniat untuk terjun ke dalam sungai.

“Anggota kemudiannya bertindak memujuk suspek sehingga berjaya dan lelaki terbabit telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.20 malam. – MalaysiaGazette