Home Nasional MADA sasar 10,000 hektar sawah padi sertai SMART SBB

MADA sasar 10,000 hektar sawah padi sertai SMART SBB

Ronald Kiandee (berbaju gelap) sedang mendengar taklimat mengenai projek SMART SBB.

KUALA LUMPUR – , Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mensasarkan sejumlah 10,000 hektar sawah padi akan diusahakan melalui program SMART SBB ini menjelang tahun 2025

Setakat ini terdapat penyertaan 19 syarikat peneraju telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan yang mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan program SMART SBB terbukti berhasil meningkatkan pendapatan dan produktiviti pesawah dengan pengurusan sumber secara optimum melalui program penyatuan tanah sawah selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Menurutnya, program ini selaras dengan komitmen kerajaan di dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) untuk meningkatkan tahap pendapatan pengeluar makanan serta tahap sara diri (SSL) beras negara daripada 63% kepada 75% dalam tempoh RMK-12 dan 80% pada tahun 2030.

Sehingga Oktober 2021, bilangan penglibatan dan hasil pendapatan kumpulan sasar iaitu pesawah, telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 280 peratus.

Manakala seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program tersebut yang melibatkan kawasan tanaman padi seluas lebih 9,500 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.

Program SMART SBB dengan Bernas bermula pada musim 2/2021 dengan kawasan tanaman padi seluas 100 hektar di dua lokasi iaitu di PPK A-IV dan PPK C-IV, manakala Program SMART SBB bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan bermula pada Musim 1/2022.

Program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam pengurusan sawah berpusat untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

Ia juga meningkatkan pendapatan pesawah susulan pengurangan penglibatan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara yang dapat dimanfaatkan terus oleh pesawah yang menjadi matlamat utama pelaksanaan SMART SBB.

‘Peningkatan hasil padi juga cukup memberangsangkan. Sebagai contoh, program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada 8 hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.

”Pada awalnya, hanya 83 pesawah telah menyertai program ini tetapi kini penyertaan telah melebihi 800 pesawah,’ kata Ronald.

Terdahulu, beliau menyaksikan perjanjian menandatangani MoU yang ditandatangani oleh pihak MAFI bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta MoU MADA bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan yang akan bertindak sebagai syarikat dan badan peneraju.

Ronald yakin dengan kesungguhan semua, program ini akan terus mencapai kejayaan besar yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan sasar.

Kawasan Muda merupakan kawasan jelapang padi terluas di Malaysia dengan kawasan sawah padi seluas 100,658 hektar dengan ahli-ahli peladang berjumlah 57,635 orang. – MalaysiaGazette