Home Sukan Mat Yo rindu dakap piala

Mat Yo rindu dakap piala

Norshahrul Idlan Talaha

KUALA LUMPUR – Penyerang baharu Melaka United FC, Norshahrul Idlan Talaha mengakui rindu untuk mendakap trofi selepas kali terakhir merasai kejuaraan dalam Liga Malaysia pada musim 2018.

Dia yang memilih untuk menukar haluan daripada Sarawak United FC ke Melaka pada musim ini menyifatkan usianya yang mencecah 36 tahun masih belum terlambat untuk kembali merasai trofi di pentas Liga Super.

Kejayaan terakhir yang diraihnya ketika beraksi dengan Pahang yang dinobatkan juara Piala FA 2018 sebelum mencipta sejarah tersendiri pada musim 2021 apabila menjuarai Thai League 1 bagi musim 2020/2021 ketika bersama BG Pathum United.

Namun, bekas pemain Kelantan ini juga tidak menolak akan memberikan sehabis baik untuk membantu skuad Hang Tuah dalam menghadirkan pertarungan sengit pada musim ini.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Melaka United kerana sudi menerima saya dan masih percaya akan kemampuan untuk menjadi menjadi sebahagian daripada pasukan ini, juga kepada isteri dan anak-anak kerana merestui penghijrahan saya.

“Tetapi setiap kali saya berhijrah, orang akan sering bertanya apakah sasaran saya, dan sudah pasti dengan usia saya 36 tahun sekarang, saya sebenarnya mendahagakan sesuatu piala untuk dimenangi.

“Cuma saya tahu dalam bola sepak, kita bermain satu pasukan dan bersatu antara satu sama lain adalah lebih penting untuk kami semua mencapai kejayaan cemerlang nanti”, jelasnya.

Sementara itu, Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo bersedia untuk merebut posisi utama di bahagian depan pasukan selepas Melaka turut mempunyai dua penyerang import seperti Sony Norde dan Ifedayo Omosuyi yang cukup berbisa.

“Bagi saya, aksi persahabatan dan juga prestasi dalam latihan cukup penting di mana saya akan memberikan 100% untuk pastikan prestasi saya sentiasa dalam keadaan terbaik.

“Jurulatih juga baru dilantik dan beliau akan menilai prstasi kami semua terutamanya dalam perlawanan persahabatan atau latihan.

“Jadi, bagi saya tidak kira taktikal yang bagaimana, jurulatih (Risto Vidakovic) lebih tahu siapa yang boleh bermain dan kalau dapat peluang, sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik”, tambahnya.

Pada musim lalu, Mat Yo berjaya menjaringkan empat gol ketika bersama Sarawak United FC dan telah melakukan sebanyak 16 penampilan di pentas Liga Premier 2021. – MalaysiaGazette