Home Politik Muda bukan parti saya seorang – Syed Saddiq

Muda bukan parti saya seorang – Syed Saddiq

Syed Saddiq (tiga dari kanan ) semasa menghadiri program Listening Tour anjuran Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan parti yang dikeutuainya bukan parti peribadinya.

Menurut beliau, bukan dirinya sahaja yang menggerakkan Muda sebaliknya ramai lagi individu merupakan tulang belakang kepada parti berkenaan.

“Wajah Muda adalah pasukan di dalam Muda itu sendiri, wajah-wajah seperti Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz dan Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dan ramai lagi.

“Saya juga salah seorang daripada mereka, jadi soal sama ada saya bertanding (dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor) atau tidak, itu soal kedua.

“Muda tidak boleh jadi parti Syed Saddiq dan Syed Saddiq itu juga bukanlah Muda,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Listening Tour anjuran pihaknya di Taman Eco Cascadia, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad malam semalam.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar juga menolak dakwaan sesetengah pihak menyifatkan parti itu sebagai parti yang sombong.

Menurut beliau, pihaknya juga menafikan kepimpinan Muda sama ada peringkat pusat mahu pun negeri sebagai sombong.

“Saya juga mengingatkan kepada semua kepimpinan Muda agar jangan sesekali bersikap angkuh dan sombong walaupun dikritik dan diserang bertubi-tubi kerana dalam politik, kita menanggung amanah daripada rakyat.

“Kritikan jika diambil daripada sudut positif ia boleh menjadikan kita individu yang lebih baik, jangan sesekali hilang pendirian dan prinsip dengan kuasa dan tanggungjawab yang diberi kerana kuasa sebenarnya di tangan rakyat.

“Jika kita dikritik kerana melakukan kesilapan, jangan takut, ego atau berasa angkuh untuk meminta maaf, lebih teruk jangan kita terus mengulangi kesilapan sama,” ujarnya.- MalaysiaGazette