Home Dunia Penyokong Palmeiras ditembak mati selepas final akhir Piala Kelab Dunia

Penyokong Palmeiras ditembak mati selepas final akhir Piala Kelab Dunia

Polis antirusuhan menyuraikan peminat kelab bola sepak Palmeiras yang kecewa selepas kekalahan pasukan kepada Chelsea di Sao Paulo, Brazil. foto AP

SAO PAULO – Seorang lelaki ditembak mati semasa rusuhan yang tercetus selepas pertikaian dalam kalangan penyokong Palmeiras yang menyaksikan pasukan mereka tewas kepada Chelsea dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Fifa, kata polis Brazil.

Mangsa adalah seorang pengawal penjara yang tidak bertugas ketika kejadian, ditembak di luar stadium Palmeiras di Sao Paulo, ketika beribu-ribu penyokong berkumpul untuk menonton perlawanan itu di skrin besar.

”Terdapat beberapa pergaduhan dalam kalangan penyokong hingga mencetuskan rusuhan dan seorang lelaki ditembak,” kata polis tentera dalam satu kenyataan.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan orang ramai.

Seorang lelaki telah ditangkap, kata kenyataan itu.

Imej akan dianalisis untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam rusuhan itu, kata polis.

Polis juga masih membuat rondaan di kawasan itu bagi mengelak sebarang kekacauan baharu.

Chelsea menewaskan juara Copa Libertadores 2-1 selepas masa tambahan dalam perlawanan di Abu Dhabi. – Reuters (https://www.reuters.com/lifestyle/sports/soccer-man-shot-dead-during-riot-sao-paulo-after-fifa-club-world-cup-loss-2022-02-12 /)