JOHOR BAHRU – Datuk Seri Hasni Mohammad berjanji sekiranya dipilih menjadi poster boy Barisan Nasional (BN) dan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau akan membawa Johor menjadi lebih gemilang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, sekiranya BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas 12 Mac nanti, sudah pasti Johor bakal menjadi sebuah negeri maju dalam pelbagai aspek.
Ia merupakan tanggungjawab terhadap rakyat di negeri yang dipimpinnya.
“Jika saya diamanahkan sebagai poster boy bagi BN dalam kempen menjelang PRN Johor ini, saya komited untuk membawa Johor ke era sejarah yang penuh dengan kemajuan seperti kepimpinan BN terdahulu.
“Selain itu, Skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini dimansuhkannya oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) juga akan dikembalikan bagi memberi lebih peluang perumahan kepada masyarakat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di Stadium Tertutup EduCity di sini hari ini.
Turut hadir, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan dan barisan kepimpinan MIC lain.
Hasni yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyarankan jentera kempen BN tidak menggunakan terma pengundi muda dalam PRN Johor kerana bimbang ia dikaitkan dengan Parti Muda.
“Penggunaan terma pengundi muda perlu diubah kepada pengundi baharu kerana saya tidak mahu terma itu dikaitkan dengan Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia).
“Jadi selepas ini jangan gunakan pengundi muda. Kita sebut pengundi baharu.
“Jadi, kalau kita menghadapi pengundi automatik ini, saya harap tidak ada lagi penggunaan pengundi muda, saya tidak mahu parti Muda itu seolah-oleh mewakili orang muda,” ujarnya.
Ini kerana jelas Hasni, BN dan semua parti komponennya lebih melihat kepentingan dan kebajikan golongan muda di negeri ini sejak dahulu lagi.
“Semua parti komponen dalam BN, kita tidak pernah lupa golongan ini, kita beri jaminan dan keyakinan bahawa peranan, suara dan pendapat orang muda memang tidak pernah dilupakan dalam agenda pembangunan negara,” tambahnya.-MalaysiaGazette