KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun antara 4.18 dan 4.19 berbanding dolar AS minggu depan.
Sebahagian besar mata wang tempatan itu akan dipacu oleh dolar AS berikutan pasaran terus mempertimbang data ekonomi domestik dan global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit bergerak dalam jajaran kecil pada minggu lepas dan trend itu dijangka berterusan meskipun prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2021 yang diumumkan pada Jumaat adalah lebih baik daripada jangkaan, iaitu 3.6 peratus berbanding anggaran konsensus 3.1 peratus.
Sementara itu, beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang berada pada 7.5 peratus tahun ke tahun pada Januari berbanding anggaran konsensus 7.3 peratus telah mendorong kenaikan Kadar Dana Fed AS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang iaitu pada 15-16 Mac.
“Peserta pertukaran asing akan terus memberi tumpuan kepada data dan kenyataan ekonomi AS daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan yang akan berlaku pada mesyuarat FOMC akan datang sebagai petunjuk hala tuju pasaran.
“Ia perkara yang sudah pasti bahawa kenaikan kadar yang pertama akan dilaksanakan pada Mac. Persoalannya kini adalah kuantum kenaikan yang menetapkan kenaikan 50 mata asas dilihat sebagai angka yang sesuai,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, bagi minggu baru berakhir, dolar AS diniagakan tidak berubah berbanding ringgit pada minggu yang kurang menarik selepas bergerak antara 4.1765 hingga 4.1905 pada lima sesi dagangan yang lepas.
“Petunjuk teknikal menunjukkan dagangan julat yang berterusan bagi ringgit dan dolar AS. Keadaan ini, disertai dengan kekurangan pemangkin untuk memacu ringgit selain faktor dolar AS, mengukuhkan saranan ‘neutral’ kami terhadap kedua-dua mata wang ini pada minggu depan,” katanya.
Berasaskan mingguan, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.1885/1910 daripada 4.1805/1810 pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain bagi asas Jumaat hingga Jumaat.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6089/6111 daripada 3.6365/6372 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7686/7715 daripada 4.7929/7935.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1148/1169 daripada 3.1096/1102 pada minggu sebelumnya dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6783/6817 daripada 5.6721/6728 sebelum ini. – MalaysiaGazette