KUANTAN – Hasrat seorang pelatih jualan langsung untuk memandu sebuah Mercedez A45 berkecai apabila wang tunai sebanyak RM39,000 lesap selepas melakukan pembelian kereta lelong menerusi Telegram dalam kejadian Isnin lalu di Kuantan.
Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa diperdaya oleh suspek yang mengaku sebagai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya.
Dalam modus operandinya, suspek telah memberikan kenderaan jenis Toyota Wish bagi kegunaan sementara selama dua hari bagi menyakinkan mangsa sehingga mendorong lelaki berusia 43 tahun itu membuat pembayaran bagi tujuan pembelian.
Setelah pembayaran dibuat, kereta sementara yang diberikan untuk digunakan sehingga selesai urusan pembelian tersebut telah diambil semula manakala Mercedes yang dibeli tidak diterima oleh mangsa.
”Pengadu berhubung dengan penjual yang mengaku sebagai anggota bertugas di JPJ Putrajaya lalu memberikannya Toyota Wish sebelum kereta Mercedez tiba di Kuantan.
“Mangsa diarah oleh suspek untuk membuat pembayaran untuk kereta Mercedez tersebut dan pada 8 Februari 2022, pengadu telah membuat tiga kali transaksi berjumlah RM39,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selesai pembayaran, mangsa menunggu dua hari dan meletakkan Toyota Wish di luar pagar hadapan rumah ibunya tanpa digunakan, namun pada 11 Februari kenderaan tersebut didapati hilang.
Kenderaan tersebut dipercayai diambil semula oleh suspek, justeru pengadu datang ke balai polis membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette