KUALA LUMPUR – Suasana politik di negeri Johor menjelang Pilihan Raya Umum (PRN) Johor lebih mesra Barisan Nasional (BN) berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, dakwa Tan Sri Shahrir Samad.
Veteran UMNO itu berkata, perubahan itu berlaku selepas rakyat Johor terkesan daripada tidak berkemampuan urus tadbir oleh Pakatan Harapan (PH).
Mengulas mengenai perkembangan itu, Shahrir yang juga Ketua UMNO Johor Bahru berkata, kommunikasi dan penerangan adalah penting untuk mendapatkan mandat rakyat dalam proses demokrasi.
Isyarat kepada pengundi bukan boleh hanya dalam bentuk retorik semata-mata, lebih-lebih lagi apabila kaedah kempen akan menyekat himpunan secara besar-besaran.
Oleh yang demikian, penyampaian mesej kepada pengundi akan lebih berkesan melalui pertemuan peringkat masyarakat dan juga melalui media baharu.
Tawaran kepada pengundi Johor akan termasuk juga calon-calon yang diketengahkan.
”Barisan calon-calon BN harus, pertamanya, mempunyai kredibiliti untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang mampu melaksanakan agenda yang dijanjikan dalam manifesto PRN parti.
”Keduanya, agenda itu adalah suatu yang munasabah dan dalam kemampuan kerajaan negeri untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Maka tawaran BN kepada pengundi lebih mudah diterima selagi penyampaiannya juga berkesan. – MalaysiaGazette