Home Politik Amira Aisya calon Muda DUN Puteri Wangsa

Amira Aisya calon Muda DUN Puteri Wangsa

Amira Aisya berucap selepas diumumkan calon Muda DUN Puteri Wangsa di Johor malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan setiausaha agungnya, Amira Aisya Abd Aziz calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ia merupakan penyertaan secara rasmi parti itu dalam arena politik negara ini melalui PRN pertama yang akan menyaksikan hari penamaan calon pada 26 Februari ini.

Amira Aisya, 27, berkata, hasratnya untuk bertanding kerana percaya dengan pendidikan dalam membangunkan masyarakat.

Namun beliau tidak melihatkan kekurangan pengalaman sebagai faktor penghalang kerana dibesarkan suasana latar belakang ibu bapanya sebagai guru.

“Saya sentiasa percaya pendidikan itu key to society. Sewaktu saya membesar di Kampung Melayu Majidee, rumah nenek, saya lihat bagaimana seseorang pemimpin itu korup, bila negara ada pemimpin salah guna kuasa, ada pemimpin tamak harta kedudukan, ia akan mengakibatkan sistem sosio ekonomi tidak bagus terutama sekali bagi golongan terpinggir.

“Ramai kawan-kawan saya di zaman kanak-kanak keciciran dalam pendidikan, ada yang mengandung sewaktu di sekolah, terjerumus dalam dadah,“ katanya selepas majlis pengumuman secara langsung di Facebook malam ini.

Amira Aisya.

Sebelum itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu mengumumkan Amira Aisya sebagai calon sulungnya berkata, wanita itu merupakan individu yang menjadi tulang belakang dan penggerak parti itu sejak penubuhannya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, Amira Aisya juga adalah individu yang tidak mahu sertai parti yang berteraskan satu kaum semata-mata.

“Saya harap sahabat-sahabat, keluarga dari DUN Puteri Wangsa dapat memberi peluang kepada wanita muda ini untuk wakili sahabat ke peringkat DUN dan perjuangkan isu rakyat, kebajikan, reformasi pendidikan,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi calon Pakatan Harapan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mazlan Buang dengan majoriti 24,959 dalam pertandingan lima penjuru.

Mazlan yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor mengumumkan keluar Bersatu pada 27 Januari lepas atas alasan tidak percaya kepada kepimpinan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette