Home Ekonomi Ekonomi dijangka pulih beransur-ansur – IMF

Ekonomi dijangka pulih beransur-ansur – IMF

foto Reuters

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka pulih beransur-ansur daripada impak pandemik COVID-19 dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar berada pada 3.1 peratus pada 2021 dan diunjur meningkat kepada kira-kira 5.75 peratus pada 2022, demikian menurut dapatan awal daripada pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pasukan itu yang diterajui oleh Lamin Leigh, melaporkan bahawa pertumbuhan akan disokong oleh program pelancaran vaksin yang memberangsangkan oleh kerajaan dan pelaksanaan pantas langkah-langkah sokongan dasar ekonomi.

“Penurunan ekonomi yang lebih teruk (pada 2021) berjaya dielakkan hasil daripada respons dasar pandemik yang pantas, mantap dan pelbagai hala yang disasarkan untuk menyokong isi rumah dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik.

“Pertumbuhan pada 2022 diunjurkan pada kira-kira 5.75 peratus, dipacu oleh permintaan terpendam domestik dan permintaan luaran yang terus kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leigh berkata, krisis pandemik boleh meninggalkan implikasi berlarutan dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang, sambil menambah pemulihan dijangka tidak sekata, dengan pengeluaran masih berada jauh di bawah paras potensinya.

Beliau berkata pasukannya mengesyorkan sokongan fiskal bersasar tambahan kepada segmen ekonomi rentan dan yang terjejas teruk dan pelaburan produktif.

“Dalam tempoh terdekat ini, dasar fiskal perlu terus tangkas dan bersasar, dengan fokus untuk terus menyokong pemulihan, meminimumkan kesan ekonomi,  melindungi segmen penduduk yang rentan dan meningkatkan pelaburan produktif sejajar dengan keutamaan perbelanjaan kerajaan.

“Strategi pengukuhan yang boleh diyakini, mesra pertumbuhan dan disampaikan dengan jelas perlu dilaksanakan sebaik sahaja pemulihan bertapak kukuh untuk membina semula penampan fiskal, memelihara kemampanan fiskal dan mengurangkan risiko fiskal, disokong oleh amalan tadbir urus fiskal yang mantap,” katanya.

Dapatan itu juga memuktamadkan bahawa pendirian dasar monetari yang akomodatif adalah wajar dan langkah-langkah sokongan sektor kewangan perlu lebih bersasar ketika pemulihan semakin kukuh.

“Dasar pembaharuan berstruktur, bersasar dan diselaraskan boleh membantu menangani cabaran struktur, mengehadkan impak ekonomi, meningkatkan produktiviti dan menangani ketaksamaan serta memenuhi aspirasi ‘Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’,” jelasnya.

IMF berkata pandangan dapatan itu tidak semestinya mewakili pandangan lembaga eksekutifnya.

Satu laporan berasaskan dapatan awal itu akan disediakan oleh pasukan tersebut dan dijangka dibentangkan kepada lembaga eksekutif pada April 2022.

— BERNAMA