Home Seni Hidup Festival raya terbesar sasar 1 juta pengunjung di MITEC

Festival raya terbesar sasar 1 juta pengunjung di MITEC

Pengerusi Prisma Galeri Sdn Bhd, Tan Sri A. Rahman Mamat, (tengah), Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Winnie Lim (kiri) bersama Pengarah Absolut Event and Management, Ben Ali (tiga kiri), Ketua Pegawai Eksekutif My Events International, Hema Kandy (dua dari kanan), My Events International, Pengarah Kumpulan Pembangunan Perniagaan, My Events International, Thana Vadivelu (kanan) bergambar kenangan selepas sidang media berkenaan 'Absolut Bazaar X Gaya Raya' yang akan menganjurkan festival raya terbesar di MITEC, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 14 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Satu festival raya terbesar dikenali Absolute Bazaar & Gaya Raya menyasarkan seramai satu juta pengunjung bakal diadakan selama empat hari pada Ramadan ini.

Penganjur bersama, Ben Ali berkata, festival berlangsung selama 66 jam tanpa henti itu bermula 22 April ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Beliau berkata, pemilihan MITEC itu mengambil kira lokasi yang selesa dan luas dalam usaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak kesesakan pengunjung yang berlaku di luar kawalan.

“Kami akan menyediakan dua dewan pempamer yang mampu memuatkan seramai 5,000 pengunjung dalam satu masa dan satu dewan tambahan akan dibuka jika berlaku kesesakan.

“Pada masa sama, SOP yang akan dijalankan kepada penganjur seperti mengimbas masuk MySejahtera selain menyediakan paramedik dan ambulans sebagai langkah penjagaan.

“Kami juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk menaja kit ujian air liur kepada pengunjung dan terdapat juga syarikat yang telah bersetuju untuk menaja pelitup muka kepada pengunjung,” katanya yang juga Pengarah Absolut Event & Management Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian pada sidang pengumuman Absolute Bazaar & Gaya Raya di MITEC di sini hari ini.

Turut hadir penganjur bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyEvents International, Hema Kandy.

Pengarah Absolut Event and Management, Ben Ali (kanan) bersama isterinya, Nadiyah Shahab bercakap pada sidang media berkenaan ‘Absolut Bazaar X Gaya Raya’ yang akan menganjurkan festival raya terbesar di MITEC, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 14 FEBRUARI 2022.

Ben Ali menambah, objektif penganjuran festival itu bertujuan menghidupkan semula kemeriahan sambutan Aidilfitri yang sudah dua tahun disambut dalam suasana suram.

Pada masa sama, festival itu juga diharap dapat merancakkan kembali sektor ekonomi dalam kalangan peniaga tempatan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Justeru antara tarikan utama adalah harga mesra pandemik diperkenalkan bermula serendah RM2,800 bagi satu lot tapak berniaga selama empat hari festival itu berlangsung.

“Kami juga bakal mewujudkan pelan pembayaran ansuran serta pinjaman yang akan ditawarkan demi untuk meringankan beban para peniaga supaya ianya sedikit sebanyak dapat membantu mereka memulihkan semula perniagaan yang terkesan.

“Selain itu selaku penganjur, kami berjanji Absolute Bazaar & Gaya Raya tetap akan diadakan kerana terdapat jaminan Perdana Menteri baru-baru ini tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan akan diadakan pada Ramadan ini,” katanya.

Ben Ali memberitahu, festival itu terbuka untuk disertai kepada semua jenis industri seperti makanan, minuman, kuih muih, pakaian, produk kecantikan dan pelbagai lagi.

Tambahnya, penganjur juga akan menyediakan kemudahan seperti surau termasuk mengadakan solat tarawih bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Tidak ketinggalan, kami bakal membawakan Absolut Food Festival berskala mini di bawah satu bumbung dengan memperkenalkan konsep atas bumbung (rooftop) yang pertama kali bakal diadakan dalam satu festival.

“Ini kerana membeli-belah persiapan raya tidak akan lengkap tanpa santapan gerai makanan untuk berbuka dan juga sahur yang menampilkan kelainan bagi festival raya kami ini.

“Kami juga bakal menjemput para pereka terkenal tanah air seperti Datuk Jovian Mandagie, Fiziwoo, Rizman Ruzaini dan lain-lain untuk membawa koleksi Ready-To-Wear (TW) mereka untuk sebuah persembahan fesyen yang bakal disajikan khas kepada para pengunjung festival,” ujarnya.

Ben Ali berkata, ramai artis terkemuka bakal memeriahkan lagi suasana festival antara selebriti yang bakal membuka gerai jualan adalah Datuk Siti Nurhaliza , Fatah Amin , Nelydia Senrose , Uqasha Senrose , Raysha Rizrose, Mira Filzah, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.

Selain itu Neelofa, Haris Ismail , Emma Maembong , Zizan Razak , Syatilla Melvin , Saharul Ridzuan , Shukri Yahaya, Rozita Che Wan, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Intan Najuwa, Aedy Ashraf dan ramai lagi. – MalaysiaGazette