SINGAPURA – Harga minyak meningkat pada Isnin, mendaki ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berikutan kebimbangan kemungkinan pencerobohan Ukraine oleh Rusia boleh mencetuskan sekatan daripada Amerika Syarikat dan Eropah serta mengganggu eksport tenaga daripada pengeluar utama dunia itu.
Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan pada AS$95.73 setong pada 0109 GMT, naik AS$1.29, atau 1.4 peratus, selepas mencecah paras tertinggi harian pada AS$95.91.
Minyak mentah Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) naik AS$1.49, atau 1.6 peratus kepada AS$94.59 setong, berlegar hampir paras tertinggi AS$94.92.
Kenyataan oleh Amerika Syarikat mengenai serangan yang akan berlaku oleh Rusia ke atas Ukraine telah menggegarkan pasaran kewangan global.
Rusia kemungkinan menyerang Ukraine pada bila-bila masa dan mungkin mencipta alasan mengejut untuk serangan, kata Amerika Syarikat pada Ahad.
“Jika … pergerakan tentera berlaku, minyak mentah Brent tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk melepasi paras AS$100.
“Harga minyak akan kekal sangat tidak menentu dan sensitif kepada situasi terkini Ukraine,” kata penganalisis OANDA Edward Moya dalam nota penyelidikan.
Para pelabur kini memantau perbincangan antara Amerika Syarikat dan Iran untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan keselamatan Iran pada hari Isnin berkata, kemajuan dalam rundingan menjadi “lebih sukar”.
Di Amerika Syarikat, harga minyak yang teguh menggalakkan firma tenaga untuk meningkatkan pengeluaran apabila mereka menambah pelantar minyak paling banyak dalam empat tahun minggu lepas, kata firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes Co pada hari Jumaat. – Reuters (https://www.reuters.com/business/energy/oil-prices-clamber-towards-7-year-highs-russia-ukraine-tensions-2022-02-14/)