Home Nasional UPSI jalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia

UPSI jalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia

Temubual ekslusif bersama Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff di Muzium Pendidikan Nasional, UPSI, Tanjung Malim. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2022.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memantapkan lagi cabaran pendidikan dengan menjalin kerjasama menerusi beberapa buah universiti terkemuka dunia.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI perlu kreatif mengenal pasti dasar dan polisi pendidikan terkini yang boleh menjangkau sekurangk-kurangnya untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Katanya, UPSI harus berani keluar peringkat antarabangsa dan tidak boleh bermain satu “kolam” iaitu pasaran pendidikan di dalam Malaysia sahaja.

“Yang pertamanya, kita bekerjasama dengan universiti terkemuka di dunia antaranya Universiti Harvard, Universiti, Oxford, Universiti Cambrige dan seterusnya kita bakal membuka beberapa kampus satelit di luar negara sama ada di UAE mahupun di China atau di Uzbekistan.

“Jadi, di situ kita perlu melaksanakan pelbagai penyelidikan dan seterusnya persediaan dan kita memberikan cadangan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam temubual sempena sambutan ulang tahun ke-100 UPSI baru-baru ini.

Md Amin berkata, beberapa inisiatif sedang dilaksanakan di UPSI ketika ini dalam usaha mendepani cabaran pendidikan yang semakin luas.

Ujarnya, universiti berkenaan harus memberi penekanan terhadap teknologi pendidikan digital yang mana ia sebahagian daripada kehidupan.

Katanya lagi, UPSI sedang merangka untuk mewujudkan sebuah fakulti pendidikan digital yang akan melahirkan inovasi terkini dalam pendidikan digital.

“Seterusnya, saya rasa cabaran yang kita tak dapat lari adalah kelestarian universiti di mana kita harus menyediakan teknologi pendidikan yang terkini selain proses-proses penjagaan serta penambah pendapatan agar UPSI dapat bersaing seiring dengan situasi semasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette