PORT DICKSON – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan bekalan ayam dan telur di pasaran mampu distabilkan dalam tempoh empat bulan bagi memenuhi permintaan dalam negara, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata, ia berikutan pelbagai insentif dan subsidi diberikan kepada pemain industri terutama penternak dalam menstabilkan pengeluaran bekalan ayam dan telur sekali gus meringankan beban mereka menghadapi peningkatan kos termasuk bahan mentah.
“Subsidi baru diumumkan minggu lepas dan sedang dalam proses pengaturan dengan pihak industri, kerajaan mendengar masalah yang dihadapi dan telah ambil tindakan bagi menampung sedikit implikasi kenaikan kos pengeluaran bekalan makanan negara.
Program dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Pada 9 Feb lepas, Kabinet dilaporkan bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg manakala 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori sehingga 4 Jun depan.
Dalam pada itu, Ronald sekali lagi menegaskan langkah kerajaan membenarkan pengimportan bekalan ayam bulat dari luar negara adalah bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran sehingga ia kembali stabil.
“Kita dah buka bukan sahaja kepada pengimport luar tetapi dalam kalangan pengusaha pasar raya (import).. sebulan dua kebelakangan ini kita lihat bekalan kurang sebab itu kita benarkan import, bila pengeluaran (dalam negara) stabil kita akan hentikan,” katanya. – MalaysiaGazette