Home Seni Hidup Daud Kim nafi minum arak, dera isteri

Daud Kim nafi minum arak, dera isteri

Foto: FB Daud Kim

KUALA LUMPUR – YouTuber mualaf terkenal dari Korea Selatan, Daud Kim menafikan dakwaan dia mengambil minuman beralkohol serta mendera isterinya.

Daud yang merupakan bekas penyanyi popular Korea Selatan dengan nama Jay Kim turut menafikan dia mempergunakan Islam hanya untuk kemasyhuran dan wang.

“Saya tidak pernah mengumpul wang menggunakan nama Imam. (Anda juga boleh bertanya kepada beliau secara langsung).

“Saya benar-benar letih dengan video dan gambar yang dimanipulasi malah artikel di internet turut menggunakannya. Saya akan mengambil semua tindakan undang-undang untuk membuktikannya,” kata Daud Kim.

Foto: FB Daud Kim

Beberapa portal berita termasuk Malaysia sebelum ini mendakwa lelaki itu yang dikatakan berada di kelab malam di Turki baru-baru ini selain menari bersama seorang wanita.

Video yang dikongsikan di TikTok itu tular beberapa hari lalu dan hangat diperkatakan di media sosial.

Malah ada yang mendakwa lelaki itu ke Turki bagi melengahkan proses penceraian yang sedang berjalan di antaranya dan isteri, Mia.

“Saya tidak mahu bercakap tentang isu yang berkaitan dengan keluarga saya tetapi saya tidak pernah mendera mereka dan saya melakukan yang terbaik untuk menjaga dan melindungi keluarga saya.

“Saya berharap mereka akan sentiasa menjalani kehidupan yang diberkati dan bahagia.

“Tolong sokong mereka dan berikan kata-kata yang baik untuk mereka. Terima kasih. Semoga Allah merahmati awak dan keluarga,” katanya.

Dalam hantaran di media sosial, Daud bertegas  dirinya masih Islam dan beriman kepada Allah.

Sebagai insan yang tidak sempurna, Daud berkata dia bertaubat kepada Allah jika melakukan kesilapan.

“Saya beriman kepada Allah dan Muhammad SAW adalah pesuruhnya. Saya tahu saya tidak sempurna. Jika saya melakukan kesilapan, saya bertaubat kepada Allah dan akan melakukannya.

“Tetapi ini tidak boleh menjadi bukti bahawa saya bukan seorang Muslim. Hanya Allah yang boleh menilai ini. Dia tahu segala-galanya,” tambahnya.

Daud mencetuskan fenomena dengan rakaman video perjalanannya sebagai muslim.

Selepas melafazkan syahadah, popularitinya melonjak apabila video yang memaparkan kehidupan sehariannya sebagai saudara baharu di Korea Selatan mendapat sambutan luar biasa oleh pelayar internet terutama di negara yang penduduk majoritinya adalah Muslim.

Beliau mempunyai 1.6 juta pengikut di Facebook dan 3.14 juta langganan di YouTube.-MalaysiaGazette