Home Nasional Dua maut kereta terperosok bawah treler

Dua maut kereta terperosok bawah treler

Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 362.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, hari ini.

TANJUNG MALIM – Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terperosok di bawah treler di Kilometer 362.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, hari ini.

Kejadian jam 5.40 pagi itu menyebabkan pemandu Proton Waja berusia 33 dan penumpangnya berusia 27 tahun terkorban.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan berlaku ketika treler dipandu lelaki berusia 47 tahun itu dalam perjalanan dari arah Rawang menuju ke Teluk Intan sebelum tiba-tiba dilanggar kereta mangsa dari arah belakang.

Kata beliau, pelanggaran itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa terperosok di bawah treler berkenaan selain kedua-dua mereka tersepit di dalam kenderaan.

“Pemandu dan penumpang kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Slim River. – MalaysiaGazette