KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk memadam sebahagian kandungan pernyataan yang dibuat oleh salah seorang saksi dalam kes kes pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya ketika ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan tertuduh dengan alasan 33 perenggan yang dimohon agar dipadamkan adalah relevan dalam membuktikan pertuduhan-pertuduhan dalam prosiding ini.
“Mahkamah sendiri akan menilai keterangan SP7 (saksi pendakwaan ketujuh) dan memutuskan sama ada keterangan SP7 wajar diterima atau tidak, sama ada keterangan adalah hearsay atau sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Shafee telah memohon untuk memadam sebahagian kandungan penyataan bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Muhammad Shafee berdepan dengan dua pertuduhan penggubahan wang haram dengan menerima dana dari hasil aktiviti haram yang mana cek telah dimasukkan oleh Najib ke dalam akaun CIMB miliknya.
Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.
Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang jika sabit peruntuk hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.
Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.
Prosiding bersambung dengan Syed Nasrul menyambung keterangan ketika ini. -MalaysiaGazette