Home PRN Johor Janji tidak terlibat politik dengan ibu dibuat ketika bersekolah – Amira Aisya

Janji tidak terlibat politik dengan ibu dibuat ketika bersekolah – Amira Aisya

Amira Aisya ketika majlis pengumuman calon DUN Puteri Wangsa.-Foto FB Muda

KUALA LUMPUR – Calon Muda bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Amira Aisya Abd Aziz membuat janji dengan ibunya untuk tidak terlibat dalam politik ketika zaman belajar.

Amira Aisya yang merupakan calon Muda bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa berkata, pada waktu janji itu dilafazkan kepada ibunya, mereka tinggal di sekitar kawasan yang dipenuhi setinggan dengan ahli politik hanya muncul lima tahun sekali.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang kita rasa dunia politik ini kotor.

“Pada masa itu saya memang lantang bersuara dari zaman saya bersekolah, saya seorang yang sentiasa turun untuk membuat khidmat masyarakat.

“Jadi pada wantu itu ramai yang kata, nanti Mira jadi ahli politik. maka saya cakap pada ibu saya tak apa jangan risau saya tak akan jadi ahli politik,” jelasnya.

Amira Aisya ketika ini menjadi sasaran netizen selepas sebuah portal melaporkan beliau terpaksa mungkir janji  dengan ibunya untuk tidak terlibat dalam bidang politik.

Menurut Setiausaha Agung Muda itu, janji yang dibuatnya itu bersifat sangat peribadi dengan ibunya.

Beliau yang dihubungi MalaysiaGazette berkata, dia telah mendapat restu ibunya untuk menyertai politik dan menjadi calon pilihan raya.

“Memang saya pernah bercakap dengan ibu tak akan masuk politik. Tapi saya cakap pada dia, saya terpaksa mungkir janji. Saya akan buat yang terbaik. Alhamdullilah dia pun faham dan dia sangat menyokong dengan kerja-kerja saya sekarang.

“Benda itu sangat personal antara saya dengan ibu saya. Sebelum buat kenyataan umum pun saya sudah berbincang dengan ibu, mohon restu dengan ibu. Ini bukan sekadar mungkir janji yang saya ambil ringan,” kata Amira Asiya.

Tambah Amira Asiya, ibunya membenarkan beliau menyertai politik kerana ia adalah jalan yang dibuka kepada beliau untuk berkhidmat dengan masyarakat.

Amira Asiya berkata, ibunya yang merupakan pengetua sekolah amat memahami jiwanya yang mahu berkhidmat kepada masyarakat iaitu satu prinsip yang tidak asing dalam keluarga mereka.

Beliau menegaskan janji yang dibuat dengan ibunya tidak sama dengan janji untuk berkhidmat dengan rakyat.

“Kerana pada akhirnya, walaupun saya kata kepada ibu tak akan masuk politik, ibu saya sentiasa tahu saya memang ingin berkhidmat kepada rakyat.

“Dan jika ini adalah jalan yang telah dibuka kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat, dia sangat memahami.

“Pada masa sama kepada rakyat, saya tidak akan menabur janji dengan mudah. Saya bukan jenis manusia yang bila berjanji akan dimungkiri,” tegasnya.

Menurut Amira Asiya, selepas bergaul dengan ramai ahli politik beliau menyedari tak semua yang terlibat dalam dunia itu adalah kotor.

Masih terdapat ramai pemimpin politik yang baik dan sangat ikhlas bekerja. Pemimpin-pemimpin itu menjadi suri tauladan kepada dirinya.

“Bila saya melihat mereka dan cerita pada ibu, keluarga kami pun faham bahawa walaupun ramai dalam dunia politik ini kelihatan kotor, dan kalau kita hendak membetulkan, membersihkan kita perlu masuk dan berpegang pada prinsip kita sendiri,” kata Amira Asiya.

Amanah adalah sikap yang akan beliau pegang dan amalkan apabila terlibat dalam politik.

Sekiranya diberikan kepercayaan di DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor, beliau akan memberikan khidmat yang terbaik dan akan menunaikan janji dengan sebaik mungkin. – MalaysiaGazette

Dengan mak pun mungkir janji, bagaimana dengan pengundi?

1 Komen

Comments are closed.