KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman untuk tidak dihantar ke negara asalnya sehingga pendengaran habeas corpusnya pada 20 Mei ini.
Sepatutnya Mohamed Khairuzzaman sudah dihantar ke Bangladesh oleh Jabatan Imigresen atas sebab yang tidak didedahkan oleh pihak berkuasa setelah ditahan pada 10 Februari lepas.
Bagaimanapun bekas pesuruhjaya itu kemudian memfailkan habeas corpus terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen sebagai responden-responden dengan tuntutan untuk dirinya segera dibebaskan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini memutuskan untuk membenarkan permohonan Mohamed Khairuzzaman sehingga 20 Mei ini bagi pendengaran kesnya terlebih dahulu.
Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun yang mewakili pihak Jabatan Imigresen kemudian memberitahu mahkamah pihaknya akan memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung perkembangan itu.
Walaupun penahanan lelaki itu tidak dapat dipastikan oleh sumber sahih namun laporan media mendakwa Mohamed Khairuzzaman dikehendaki atas sebab yang tidak didedahkan.
Manakala isteri kepada tertuduh, Rieta Rahman pula mendakwa tujuan tahanan itu kerana tujuan politik oleh kerajaan Bangladesh sendiri. – MalaysiaGazette