Home Nasional Pemandu BMW disyaki sakit mental langgar 4 kenderaan ditahan

Pemandu BMW disyaki sakit mental langgar 4 kenderaan ditahan

Salah satu rakaman dari kamera papan pemuka memaparkan sebuah BMW berwarna hitam melanggar sebuah motosikal sebelum memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR – Polis menahan pemandu kereta BMW berwarna hitam yang dipercayai melanggar empat buah kenderaan dari bahagian belakang dalam kejadian di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan dekat sini kelmarin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima satu laporan kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan BMW pada pukul 3.53 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati, BMW yang dipandu secara laju dan melulu oleh seorang lelaki berusia 36 tahun itu telah melanggar sebuah Myvi, Mazda dan Honda Jazz dari belakang.

“Selain itu, BMW berkenaan turut melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah belakang sehingga menyebabkan penghantar makanan itu gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh atas permukaan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, penghantar makanan berusia 33 tahun itu mengalami cedera ringan di bahagian siku dan telah mendapat rawatan di sebuah klinik.

Mengulas lanjut, Azman berkata, suspek kemudiannya telah ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan Baru, Cheras pada hari yang sama kira-kira pukul 7.10 malam selepas melanggar beberapa kenderaan lain di sekitar Sungai Besi.

“Suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk tindakan lanjut kerana dikatakan mempunyai sejarah penyakit mental dan mendapat rawatan,” katanya.

Tambah Azman lagi, pihaknya masih menunggu laporan penuh perubatan daripada hospital mengenai suspek terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, beberapa video yang dirakam melalui kamera papan pemuka tular di laman Facebook memaparkan sebuah BMW berwarna hitam dipandu secara berbahaya dan ‘menyondol’ beberapa buah kenderaan. – MalaysiaGazette