Home Politik PRN Johor: Warganet curiga MUDA hanya mahu kerusi bandar

PRN Johor: Warganet curiga MUDA hanya mahu kerusi bandar

Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbincang sesuatu bersama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan turut hadir Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pada hari pelancaran Parti MUDA di Nexus Bangsar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Tujuan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diragui warganet.

Menurut pengguna Twitter, Nazrul Nazir beliau musykil dengan langkah MUDA yang hanya dilihat ingin bertanding di kerusi bandar dan pengundi campuran berbanding kerusi luar bandar.

“Kenapa MUDA hanya target dan minta kerusi urban dan mix dari PH? Kenapa taknak masuk kerusi Semi-Urban/Rural @ majority Malay (Melayu)?

“Dekat kawasan-kawasan tu tak ada budak muda yang perlu diperkasa ke?” katanya di Twitter.

Tambah Nazrul, inilah masanya MUDA melebarkan sayap ke kawasan-kawasan pedalaman yang merupakan kerusi tumpuan ahli-ahli politik korup.

“Kalau betul nak lawan ahli politik tua dan korup, kebanyakan diorang bertanding di kawasan2 tu. MUDA serius tak nak lawan diorang ni,” katanya.

Semalam, MUDA mengumumkan calon pertamanya di PRN Johor dengan mengetengahkan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Pengumuman itu dibuat Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam.

Sebelum ini, MUDA diberikan enam kerusi iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Kerusi-kerusi itu diberikan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam satu keputusan yang dicapai bersama antara ketiga-tiga parti tersebut. – MalaysiaGazette