GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas lebih RM3.3 juta rokok dan minuman keras tanpa cukai sejak 1 Januari lalu hingga semalam.
Rampasan menerusi beberapa operasi di sekitar Zon Langkawi, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor itu membawa kepada tangkapan 12 individu termasuk tiga warga asing.
Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya merampas sebanyak 2.2 juta batang rokok dengan nilai RM3 juta selain 4,227 liter minuman keras bernilai RM9,087.
“Kita turut merampas dua kereta, satu bot beserta dua enjin serta masing-masing satu motosikal dan lori.
“Kesemua tangkapan ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Batu Uban di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Shamsol berkata, sepanjang musim perayaan baru-baru ini pihaknya turut membuat pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap bot-bot yang menjalankan aktiviti membawa penumpang di sekitar perairan Langkawi, Perak, Pulau Pinang dan Selangor dengan menahan 39 buah bot atas pelbagai kesalahan.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 52 buah bot pukat tunda ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“PPM Wilayah Satu akan mempertingkatkan operasi di perairan negara bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa.
“Justeru kita turut memerlukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah maritim dan rentas sempadan dengan menghubungi PPM di talian 04 655 8222,” kata Shamsol. – MalaysiaGazette