Home Ekonomi Bayar balik yuran pekerja asing oleh SDP langkah tepat – Maybank IB

Bayar balik yuran pekerja asing oleh SDP langkah tepat – Maybank IB

KUALA LUMPUR – Langkah Sime Darby Plantation Bhd (SDP) untuk membayar balik yuran pengambilan kepada pekerja asing semasa adalah satu langkah tepat dan menunjukkan komitmennya untuk menangani kesilapan dalam amalan pengambilan yang lalu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Menurut bank pelaburan itu dalam catatannya hari ini, langkah itu juga akan memulakan perubahan yang diperlukan untuk mengelakkan ia berulang pada masa hadapan.

“Sementara menantikan keputusan kewangan yang akan diumumkan minggu ini, kami mengekalkan ramalan pendapatan sesaham kami,” tambahnya.

SDP akan mengeluarkan prestasi kewangan suku keempatnya pada 18 Feb.

Pada Selasa, SDP mengumumkan ia telah membuat beberapa perubahan dan penambahbaikan pada struktur tadbir urus, dasar dan prosedurnya untuk memastikan operasi kumpulan itu bebas daripada ancaman buruh paksa.

Kumpulan itu merancang untuk membayar balik 15,078 pekerja asing semasa dengan jumlah agregat RM38.6 juta dan ia turut memperuntukkan dana terikat (sinking fund) berjumlah sehingga RM43.4 juta untuk membayar balik 19,565 bekas pekerja asing.

Semua bayaran balik akan dibayar dalam satu bayaran sekali gus kepada pekerja asing yang datang dari Indonesia, India, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Kemboja, Sri Lanka dan Pakistan. – MalaysiaGazette