Home Politik Bersatu, Muhyiddin tidak akan tersungkur di Johor – Wan Saiful

Bersatu, Muhyiddin tidak akan tersungkur di Johor – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan ketika berucap di program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti, Johor Bahru.
ISKANDAR PUTERI – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dengan yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menyebabkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu terkubur.
Sebaliknya kata beliau,  UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bakal terkubur di negeri kelahiran parti itu.
“Kita faham dan kita tahu bahawa kehendak UMNO adalah untuk mematikan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita mahu UMNO itu dikuburkan di mana parti itu dilahirkan.
“Apa yang UMNO lakukan ketika ini adalah ‘character assassination‘ (pembunuhan karakter),  kredibiliti mereka yang sedang menghadapi pelbagai kes mahkamah dalam keadaan takde pilihan, itulah presidennya yang ia (UMNO) ada.
“Disebabkan itulah, mereka  terpaksa pastikan presiden parti lain jugak dianggap tidak bersih.
“Jadi saya tidak peliklah UMNO dan BN ini, strategi dia untuk ‘character assassination’ sebab tiada ada pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti di sini malam tadi.
Katanya, tindakan jijik dilakukan UMNO sebagai tindakan terdesak disebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai rekod bersih.
“Macam saya cakap dalam ceramah saya tadi, kalau ditampal gambar (Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi dengan Tan Sri (Muhyiddin Yassin), saya rasa orang akan gelak bila buat perbandingan itu.
“Jadi ini peluang kita dan ini peluang rakyat untuk menunjukkan pada UMNO…yang sudah tu sudahla. Kita dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Katanya, rakyat sudah pasti menolak parti atau gabungan yang diragui integritinya, selain tidak suka melihat  kerajaan yang hanya tahu membina kekayaan untuk diri dan keluarga mereka.
“Oleh itu, rakyat perlu menolak UMNO dan BN dalam PRN Johor dengan mengundi PN.
“Semua ini untuk sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan mempunyai integriti demi masa depan kita semua,” jelasnya.- MalaysiaGazette