Home Politik BN tak mahu bergaduh, hanya jawab tohmahan dilemparkan PN – Zahid

BN tak mahu bergaduh, hanya jawab tohmahan dilemparkan PN – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak mahu bergaduh dengan parti lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, tegas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya terpaksa mempertahankan maruah parti dalam menangkis, menolak dan menjawab tohmahan yang dilemparkan menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Jika tidak dijawab bimbang ada lagi yang akan terpengaruh seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Yang telah dijawab pun tetap mereka akan putar belitkan. Inikan kalau tidak dijawab.

“Maka, menjadi kewajipan BN untuk mempertahankan diri dan menjelaskan yang sebenar kepada umum,” katanya menerusi hantaran facebooknya, petang ini.

Ahmad Zahid menempelak PN kerana baharu disindir sedikit sudah melenting, sedangkan mereka bertalu-talu membuat tohmahan dan menyerang BN.

“Mereka tohmah BN tidak mengapa, kita jawab sedikit, mereka melenting, tersinggung,” katanya.

PH pula setakat ini belum nampak bergaduh menjelang PRN Johor kerana tidak ‘diserang’ oleh PN. Ini agak menghairankan, sedangkan pimpinan PN sering melabelkan PH musuh umat yang nyata.

“Tetapi yang menjadi sasaran bertubi-tubi PN kali ini adalah BN sehinggakan fitnah terhadap Pengerusi BN diulang semula.

“Mengapa terdapat perbezaan sikap PN terhadap BN dan PH untuk PRN Johor kali ini, biar rakyat merumuskannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette