Home Nasional Demi Allah saya tidak ada keluarkan vaksin – Jururawat

Demi Allah saya tidak ada keluarkan vaksin – Jururawat

KUALA LUMPUR – Petugas kesihatan yang bertanggungjawab memberikan vaksin kepada anak bongsu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini, tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan memberi cucuk angin yang dilemparkan terhadapnya.

Menerusi video berdurasi 4.03 minit yang dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jururawat berkenaan dengan tegas menafikan tuduhan golongan antivaksin kononnya dia mengeluarkan cecair vaksin yang sepatutnya diberikan kepada anak Khairy.

Tegasnya, vaksin yang sudah berada dalam picagari tidak boleh dikeluarkan melainkan dengan tekanan.

“Demi Allah saya tidak ada keluarkan apa-apa vaksin yang tidak masuk dalam badan budak tu.

“Bila saya pegang dia, saya tidak tunjukkan dia jarum, saya terpaksa distract (alihkan perhatian) dia sebab nanti dia takut, saya suruh dia kira satu hingga 10.

“Bila saya tengok dia tak move (bergerak) saya cepat-cepat jab sambil kira one to ten.

“Saya tidak boleh buang vaksin daripada bekas jarum melainkan saya tekan. Prosedur kita memang kena tarik sedikit jarum untuk pastikan jarum tidak terkena salur darah.. boleh google, you can find it,” jelas beliau.

Katanya lagi, prosedur pemberian vaksin kepada anak bongsu Menteri Kesihatan berkenaan dijalankan sama seperti kana-kanak yang lain.

Oleh kerana kanak-kanak lebih cenderung takut kepada jarum maka tugas pemberi vaksin adalah memastikan kanak-kanak sentiasa dalam keadaan selesa dengan  berinteraksi dengan mereka.

Petugas kesihatan itu menambah, dia mematuhi semua prosedur yang ditetapkan iaitu  mengambil vial vaksin untuk tunjuk jenis vaksin dan dos vaksin  kepada ibu bapa, selain turut menunjukkan cara mengeluarkan vaksin dari picagari.

Untuk kanak-kanak dosnya adalah 0.2 mililiter.

Petugas kesihatan yang kini berdepan dengan fitnah golongan antivaksin mengingatkan mereka agar tidak membuat andaian dan tuduhan yang tidak berasas.

Ini kerana, isu ini boleh mencetuskan trauma dalam kalangan kanak-kanak khususnya, untuk menerima vaksin Covid-19.

“Kalau perkara ini jadi pada kamu apa kamu akan rasa, tidak selesa, geram, saya hanya buat kerja saya.

“Siasat dulu sebelum kamu nak buat andaian, nak kata saya kena menjawab apa lah, saya telah menjalankan tanggungjawab, saya sudah terangkan kepada ibu bapa dan kanak-kanak itu

“Tolong, kalau kamu tidak mahu (vaksin anak-anak) tidak mengapa tapi jangan tuduh orang tanpa asas,” katanya lagi.

Sebagai rekod, anak bongsu Khairy iaitu Raif pada Ahad yang lalu selesai menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).- MalaysiaGazette