Home Politik Muhyiddin langgar SOP masa darurat, tapi PN tak suruh letak jawatan ...

Muhyiddin langgar SOP masa darurat, tapi PN tak suruh letak jawatan – Najib

Najib Razak Tim Leissner 1MDB Goldman Sachs corruption bribe job offer
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Corak kempen yang dimainkan jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha menjatuhkan UMNO kadang-kadang lucu dan menghiburkan.

Serangan mereka terhadap pimpinan utama UMNO dan Barisan Nasional (BN) terutama Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah tidak terhibur.

Terbaharu, laskar siber Bersatu menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kesalahan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Dalam laman sosial itu, mereka menggesa Ismail Sabri memecat Hishammuddin atas pelanggaran itu sehingga dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dua hari lalu.

Najib menerusi hantaran Facebooknya tengah hari ini, turut memuatnaik status menjawab serangan laskar siber Bersatu dengan memberi pendapat, pecat atau tidak itu hak perdana menteri.

“Lucu amat apabila saya lihat serangan page-page PN (Perikatan Nasional) terhadap PM9 yang tolak seruan untuk pecat Hishammuddin setelah dikenakan kompaun oleh kerajaan selepas didapati melanggar SOP Covid-19.

“PM9 nak pecat Hisham ke tidak, Hisham nak letak jawatan ke tidak, itu hak mereka masing-masing, tapi sekurang-kurangnya kompaun memang telah dikeluarkan dan telah dibayar.

“Namun, pada awal tahun lepas, PM8 (Muhyiddin) korang pun didapati melanggar SOP Covid-19 setelah dia beria-ria jalan dalam lobi hotel tanpa memakai face mask bersama puluhan orang,” katanya.

Isnin lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tidak ada keperluan Hishammuddin meletak jawatan kerana dikompaun oleh KKM selepas melanggar SOP berkaitan Covid-19.

Perdana Menteri berkata, melanggar SOP bukan kesalahan jenayah serta tidak ada kena mengena dengan jenayah.

Menurut Najib, ketika Muhyiddin melanggar SOP itu, darurat dilaksanakan.

“Dengan pelaksanaan darurat itu, Parlimen digantung dengan alasan-alasan diberi kerajaan PN bahawa Covid-19 sangat berbahaya dan terlalu ramai orang tua dalam Dewan Rakyat (biarpun niat utama ialah halang Parlimen bersidang dan dia ditumbangkan).

“Walaupun bukti video terlalu jelas (HD, ya sebab dirakam oleh media), kerajaan PN tak pulak saman atau kompaun Muhyiddin masa itu, dan tiada seorang pun dari PN pernah suruh PM8 letak jawatan sebab langgar undang-undang sendiri,” katanya.

Berhubung tindakan mereman 49 jemaah yang menunaikan solat Jumaat tahun lalu, Najib berkata, mereka dikenakan tindakan itu ketika Muhyiddin perdana menteri.

“Dia bersungguh-sungguh suka penjarakan mereka yang didakwa langgar SOP,” ujarnya. – MalaysiaGazette