Home Nasional Pembukaan sepenuhnya VTL Malaysia, Singapura

Pembukaan sepenuhnya VTL Malaysia, Singapura

Orang ramai tidak melepaskan peluang melakukan perjalanan ke luar negara dengan menaiki pesawat selepas kerajaan membenarkan merentas negeri dan ke luar negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura (laluan udara dan darat) dibuka semula sepenuhnya – 100 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan ini berdasarkan penilaian risiko semasa dan persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka siong

Inisiatif VTL berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan seterusnya membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.

Sehingga 14 Februari 2022, seramai 171,583 pengembara daripada Singapura telah memanfaatkan inisiatif ini.

Jelasnya, penjualan tiket penerbangan akan dibuka dan berkuatkuasa serta-merta untuk perjalanan segera.

Selain itu, kedua-dua negara juga sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan laluan VTL Laluan Udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi.

Dalam hubungan ini, Kementerian Pengangkutan melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan Covid-19 dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang berkaitan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut.

Manakala, penjualan tiket bas akan disambung semula berkuatkuasa serta-merta tetapi hanya untuk perjalanan bermula 22 Februari 2022 dan seterusnya.

Ka Siong mengharapkan inisiatif itu dapat memanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan terus memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.

Dalam masa sama, semua pihak diingatkan supaya tidak alpa dan leka dalam mematuhi segala peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan diri serta insan tersayang disekeliling. – MalaysiaGazette