Home Seni Hidup Penjual sate OKU derita kanser limfoma dapat perhatian MAINJ

Penjual sate OKU derita kanser limfoma dapat perhatian MAINJ

Tosrin (tengah) menemui pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu di kediamannya di sini bagi menyampaikan bantuan kepada mereka.

JOHOR BAHRU – Nasib si penjual sate yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu yang kini disahkan mengalami penyakit barah limfoma tahap empat mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri (MAINJ) Johor apabila dia kini tidak mampu untuk bekerja bagi menjana pendapatan keluarga.

Menurut Zulkifli Ainul Mokhsein,34, memberitahu, perniagaan itu terpaksa dihentikan setelah disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat, baru-baru ini.

“Setiap kali saya berniaga dan mengangkat barang-barang berat, saya akan terasa sakit di bahagian dada. Selain itu saya juga berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan kanser.

“Sejak buat kimoterapi, saya nak.memandu pun masalah, saya akan berasa pening. Kadangkala apabila sakit datang ketika berniaga, saya perlu mengupah pekerja dengan bayaran RM40 sehari, jadi ia amat sukar.

“Jadi buat waktu ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu RM400 masing-masing buat saya dan isteri,” katanya yang hanya boleh mendengar bunyi pada jarak yang dekat dan kuat.

Lebih malang, isterinya  Siti Nuratika Mohd. Suhaimi, 30, juga OKU pekak dan bisu dan buta huruf terpaksa membesarkan tiga anak mereka yang berusia antara lima bulan hingga 6 tahun seadanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan turut menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM400 kepada keluarga berkenaan.

“Rasa terharu apabila bertemu dengan keluarga ini kerana suami isteri kedua-duanya pekak dan bisu manakala ketiga-tiga anak mereka pula normal. Ini betul-betul menyentuh jiwa saya.

“Saya akan memberi lebih perhatian kepada keluarga ini dan keluarga-keluarga lain yang berdepan situasi sama kerana tiada bantuan, mungkin kehidupan mereka akan lebih sukar,” katanya.

Tosrin turut memberitahu pihaknya juga akan berurusan dengan pemilik perumahan berkenaan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) sekiranya bayaran sewa bulanan perumahan boleh dimansuhkan.

“Kami akan cuba berbincang supaya mereka tidak perlu membayar sewa lagi.Jadi duit yang mereka terima boleh gunakan untuk rawatan dan lain-lain.

“Selain itu saya juga akan cuba dapatkan bantuan-bantuan lain untuk keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyampaikan bantuan ke akaun Maybank bernombor 101280031978.-MalaysiaGazette