Home Nasional Tiada aktiviti pembalakan di Maran, Bentong

Tiada aktiviti pembalakan di Maran, Bentong

Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang telah membatalkan lesen kebenaran aktiviti pembalakan di Bukit Makro, Maran pada Januari lalu, bukan baru-baru ini seperti tular di laman media sosial sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak berkata, kawasan yang dikaitkan dengan kawasan pembalakan seluas kawasan seluas 40.47 hektar atau kira kira 100 ekar di Bukit Makro adalah kuota untuk Amanah Saham Pahang (ASPA) yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang.

“Kawasan tersebut juga bukan di dalam Kawasan yang digazetkan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) ataupun Hutan Tadahan Air.

“Sebaliknya lesen diluluskan dengan had tebangan 30 sentimeter ke atas seperti kerja pembalakan HSK di mana kerja-kerja hanya dibenarkan mengikut pelan jalan yang diluluskan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, ADUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memohon kerajaan negeri supaya mengkaji semula beberapa faktor lain termasuk mengambil kira pendapat penduduk setempat, lesen tersebut dibatalkan.

Pihak terbabit telah menarik diri daripada meneruskan pembalakan di kawasan tersebut setelah mengetahui keinginan Majlis Daerah Maran untuk menjadikan Bukit Makro sebagai kawasan rekreasi dan riadah, ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, proses pengalihan jentera ditangguhkan sementara waktu berikutan musim hujan.

Sementara itu, Sallehuddin turut menafikan terdapat aktiviti pembalakan di Bentong namun terdapat aktiviti pembangunan kawasan perumahan.

Ujarnya, kerajaan negeri sedang membersihkan kawasan berdekatan Hutan Simpan Kuala Raka bagi tujuan pembinaan perumahan.

Tambah beliau, lokasi tersebut akan dibangunkan dengan perumahan awam, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Pahang yang mana kerja-kerja pembinaan akan bermula tahun ini.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Negeri Pahang menafikan berlakunya kegiatan pembalakan di Bentong, namun permit pembalakan menunjukkan hal berbeza. – MalaysiaGazette