Home Politik Tiada perbincangan kerusi PH – Warisan, kata sumber

Tiada perbincangan kerusi PH – Warisan, kata sumber

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal. Foto FAREEZ FADZIL, 17 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipercayai tidak diketahui gabungan Pakatan Harapan (PH).

Sumber yang dekat dengan salah satu parti dalam PH berkata, parti pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan gabungan itu mengenai hasrat Warisan untuk bertanding di Johor.

“Setakat ini tiada perbincangan dengan mana-mana parti dalam PH tentang niat Warisan (Parti Warisan Sabah) untuk meletakkan calon.

“Tidak ada perbincangan ke arah itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sumber itu menambah, kepimpinan PH juga tidak pernah membuka mulut mengenai hasrat Warisan meskipun parti itu mendakwa ada berbincang dengan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung PRN Johor namum tidak mendedahkan butiran lanjut kepada media.

Semalam, Shafie mengesahkan parti itu akan bertanding pada PRN Johor pada 12 Mac ini.

Shafie berkata, keputusan itu diambil bagi memberi pilihan kepada para pengundi.

Beliau berkata, walaupun ada pelbagai parti di Malaysia, tetapi rakyat sendiri yang akan menentukan perubahan kerajaan yang mereka mahukan.

Malah Ahli Parlimen Semporna itu turut berkata, Warisan berkemungkinan bertanding solo kerana dia pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik lain sebelum ini dan sudah ‘masak’ dalam kancah politik tempatan. – MalaysiaGazette