Home Nasional 574 kes bitcoin libat kerugian RM54 juta tahun lepas

574 kes bitcoin libat kerugian RM54 juta tahun lepas

Datuk Seri Abdul Jalil Hassan semasa hadir Bengkel Pemurniaan Siasatan Kes Kecurian Elektrik Bitcoin di Rompin, Pahang hari ini.

ROMPIN –  Sebanyak 574 kes melibatkan perlombongan bitcoin dilaporkan sepanjang tahun 2021 membabitkan anggaran kerugian lebih RM54 juta akibat kecurian elektrik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hasan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak  528 tangkapan telah dibuat pada tahun lalu.

“Ini menunjukkan kes kecurian elektrik melalui aktiviti bitcoin telah berlaku peningkatan kerugian berpuluh kali ganda berbanding RM1.2 juta pada tahun 2020.

“Manakala sebanyak 20 kes telah dibuka fail di bawah mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA)  dan 10 daripadanya dikenakan sekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas tamatnya Bengkel Pemurniaan Siasatan Kes Kecurian Elektrik Bitcoin di Rompin hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Kata Abdul Jalil, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mendominasi kes aktiviti haram berkenaan manakala Pahang di tangga ke enam carta.

Datuk Seri Abdul Jalil (kanan) menunjukan hasil barang sitaan bitcoin yang dilupuskan di Rompin hari ini.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang operasi perlombongan bitcoin boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki ada aktiviti tersebut seperti  bunyi terlalu bising dan kesan haba di bangunan kawasan perindustrian,

Abdul Jalil menasihati agar semua yang terlibat sindiket bitcoin supaya menghentikan kegiatan tersebut  pihak polis tidak teragak-agak  untuk mengambil tindakan di bawah Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Terdahulu Bengkel Pemurniaan Siasatan Kes Kecurian Elektrik Bitcoin berlangsung selama tiga hari bermula 14 Februari hingga hari ini hasil kerjasama polis dan TNB bagi meningkatkan kemahiran menyelesaikan banyak kes kecuaian elektrik berlaku di seluruh negara.

Melalui bengkel tersebut kedua-dua pihak telah bersetuju tindakan bawah Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan  memperuntukkan hukuman lebih berat untuk diperkasakan.- MalaysiaGazette