MELAKA – Seorang anak tidak dapat menahan air mata selepas bapanya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara atas kesalahan mengambil dadah jenis morfin pada tahun lalu.
Remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik itu dilihat mengesat air mata bersama ibunya sejurus keluar dari kamar mahkamah selepas prosiding.
Terdahulu, tertuduh, Rosli Md Isa, 55, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Nariman Badruddin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memberikan diri sendiri dadah jenis morfin pada jam 10.30 pagi 15 Februari lalu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mempunyai tujuh orang anak selain merupakan OKU dan hanya bekerja sebagai penjaga parkir.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli bagaimanapun meminta hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh disifatkan tidak insaf meskipun pernah dijatuhkan hukuman sebanyak dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun dari tarikh ditangkap 15 Februari 2021 terhadap tertuduh dan tidak dikenakan sebat atas faktor usia.- MalaysiaGazette