KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan kiri skuad kebangsaan Indonesia, Pramata Arhan secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu kelab J2 League, Tokyo Verdy melalui laman sosial rasmi kelab tersebut.
Menurut kenyataan laman web itu, Pratama yang berusia 19 tahun ditawarkan kontrak kekal dan bukan kontrak sebagai pemain pinjaman namun tempoh kontrak tersebut tidak dinyatakan.
Kenyataan itu turut menjelaskan, aksi Pratama sebenarnya telah diperhatikan sejak bulan Ogos 2021 lagi dan bukan semata-mata aksi memukau pada kejohanan AFF Suzuki Cup 2020 di Singapura sahaja.
Pramata kini muncul selaku pemain Asia Tenggara pertama Tokyo Verdy kerana kelab itu tidak pernah mengambil mana-mana pemain dari Asia Tenggara lain sebelum ini.
Dia dijangka akan terbang ke Jepun selepas sempadan dibuka atau mendapat kebenaran dari pihak imigresen Jepun seterusnya menjalani pemeriksaan perubatan sebelum majlis pengenalan pemain akan dilakukan di Tokyo.
Pratama akan memakai jersi Tokyo Verdy nombor 38 untuk musim ini. – MalaysiaGazette