Home Seni Hidup Farahdhiya kembali dengan Tewas

Farahdhiya kembali dengan Tewas

Farahdhiya kini muncul dengan single Tewas.

KUALA LUMPUR – Nama Farahdhiya bukan lagi asing dalam industri hiburan tanah air dan dia bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi tetapi juga berbakat dalam bidang lakonan.

Biarpun Farahdhiya cukup dikenali dengan lagu balada namun kemampuannya menyanyikan lagu dari pelbagai genre ketika menyertai program Gegar Vaganza musim kedua membuka mata ramai pihak.

Terbaharu, Farahdhiya, 38, atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin muncul dengan single Tewas yang mengubah 360 darjah genre muzik yang sering dibawakan dalam kebanyakan lagu sebelum ini.

Menariknya, lagu Tewas yang bergenre Electronic Dance Music (EDM) turut menampilkan rapper dari Korea Selatan iaitu Denis dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Korea. 

Percaya akan kualiti lagu ciptaan sepenuhnya oleh Pown Hasril, Karim Karam, Otromen, Nass dan DL itu, Farahdhiya tidak mahu menggunakan pendekatan gimik keterlaluan seperti dilakukan segelintir penyanyi.

“Untuk lagu ini tiada sebarang gimik sebab saya seorang yang simple dan straight forward. Jadi nak keluar lagu kita buat cara biasa sahaja. Pada saya jika itu lagu yang bagus, penyanyinya bagus atau produknya baik kalau buat dengan cara yang biasa pun tiada masalah. 

“Kadang-kadang kita tengok sendiri orang buat gimik sampai ada yang memalukan diri dan nampak bodoh sehingga dikecam. Saya tak sanggup semata-mata nak buat gimik sebegitu dan saya tidak perlukan itu. Bila nak keluar lagu, kita keluarkan lagu sahaja,” katanya.

Lagu Tewas yang bergenre Electronic Dance Music (EDM) turut menampilkan rapper dari Korea Selatan iaitu Denis dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Korea.

Menurut Farahdhiya yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati, dia yakin dengan lagu Tewas tinggal lagi memerlukan publisiti dan promosi yang bagus.

“Saya sangat yakin dengan lagu ini. Setiap kali saya keluarkan lagu baharu tak kisah ia meletup atau pun tidak saya selalu ada keyakinan. Sebab bila kita dengar kita tahu lagu itu sedap. Cumanya sesebuah lagi itu jika tidak meletup tidak semestinya ia tidak sedap dan bagus. 

“Mungkin ia berpunca dari segi publisiti dan promosi. Seperti saya cakap, saya sangat yakin dengan lagu ini dan ia adalah lagu yang bagus. Saya harap dapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Tewas itu, Farahdhiya berkata, pertama kali mendengar lagu itu dia terus jatuh cinta dan bersetuju untuk merakamkannya.

“Diakui orang mengenali saya dengan lagu balada, jadi ini perkara baharu daripada saya dan saya sangat seronok. Kita pun mengikut peredaran zaman kerana lagu sebegini sekarang tengah in.

“Pertama kali dapat lagu ini saya terus setuju sebab saya sukakan melodinya yang catchy. Pada saya lagu sebegini cita rasa orang sekarang. Ini memang satu jenama baharu daripada saya dan saya sangat teruja. Ditambah pula lagu ini menggunakan tiga bahasa. Saya fikir ini peluang untuk menjayakan lagu ini,” katanya.

Rapper dari Korea Selatan iaitu Denis.

Menurut Farahdhiya, muzik EDM bukanlah asing dalam hidupnya kerana pernah mempersembahkan lagu dari genre itu ketika zaman sekolah.

“Muzik sebegini sebenarnya tidak asing bagi saya kerana pernah mempersembahkannya ketika zaman sekolah dan juga untuk gigs. Saya pernah menyanyikan lagu sebegini yang bergenre hip hop dan ada elemen EDM. 

“Cuma orang tidak tahu berkenaan itu. Jadi saya teruja dengan genre yang saya buat ini ditambah pula bersama penyanyi rap baharu dari Korea Selatan, Denis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya berkongsi jadual kerjaya seninya padat selepas aktiviti seni kembali dibenarkan beroperasi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak dibenarkan bekerja semula pada Oktober tahun lalu, Alhamdulillah jadual saya sangat padat sampai sekarang. Nyanyian dan lakonan seiring. Saya sibuk menjayakan persembahan korporat dan makan malam. Tawaran berlakon pun tak berhenti.

“Memang agak sibuk sebenarnya sejak mula dibenarkan bekerja semula dan fokus sekarang dengan lagu terbaharu ini. Ada juga beberapa drama yang akan keluar seperti Roti Cicah Susu yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria tak lama lagi.

“Ada juga drama dengan penstriman Viu. Kerjaya saya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah,” katanya. – MalaysiaGazette