KUALA LUMPUR – Kepercayaan kaum Melayu terhadap iluminati berbanding fakta sains terhadap keberkesanan dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan cabaran besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kepercayaan itu menyebabkan keengganan menerima dos penggalak dan Program Imunisasi Untuk Kanak-Kanak (PICKids) dalam kalangan Melayu agak tinggi.
Keadaan ini, katanya, menyebabkan KKM perlu melakukan sesi penerangan dan berusaha menjawab satu per satu maklumat dan persoalan yang tular dalam kalangan masyarakat Melayu.
”Bukan kita nak lihat isu penerima dos penggalak dari segi perkauman tapi kita lihat angka itu sangat-sangat ketara dari segi penerimaan dos penggalak, satu kaum sangat tinggi, kaum lain agak rendah.
“Maka saya berpendapat kalau kita tidak mengambil kira maklumat tersebut, KKM tidak akan dapat melakukan intervensi yang berkesan,” katanya yang mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa masyarakat Melayu yang menerima dos penggalak masih kurang iaitu di bawah 50 peratus berbanding Cina lebih kurang 80 peratus.
Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan gelombang Omicron di dalam negara, hari ini.
Khairy tidak menolak golongan yang enggan menerima vaksin sedikit sebanyak telah berjaya menyebarkan berita palsu dan mempengaruhi orang ramai untuk tidak mempercayai dan takut terhadap vaksin termasuklah menerima dos penggalak.
“Kita berada dalam keadaan di mana orang-orang yang tidak ada kaitan langsung, tidak terima vaksin bukan tidak hanya berpuas hati untuk tidak terima vaksin sendiri tetapi sudah mula menyebarkan berita palsu dan menakutkan orang lain untuk menerima dos penggalak dan halang anak mereka menerima vaksin,” tambahnya.
Sehubungan itu jelas Khairy berkata, pakar-pakar perubatan perlu lebih kerap tampil di media untuk memberikan penjelasan dan kesedaran terhadap keberkesanan vaksin Covid-19.
Beliau percaya, penjelasan dari pakar-pakar itu akan mengatasi pandangan-pandangan yang tidak berasaskan sains hingga menyakinkan lebih ramai orang menerima dos penggalak/
Sehingga kini sebanyak 58 peratus dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak.
Khairy mensasarkan sebanyak 70 peratus golongan dewasa dalam negara secara keseluruhan menerima dos penggalak.- MalaysiaGazette