Friday, November 15, 2024
Home Utama Tiada lagi pengumuman harian Covid-19 mulai esok

Tiada lagi pengumuman harian Covid-19 mulai esok

Orang ramai kini boleh melihat data harian Covid-19 melalui lawam web CovidNow.moh.gov.my bermula hari ni yang baru diperkenalkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bermula esok, jumlah kes harian Covid-19 tidak akan diumumkan secara berasingan sebaliknya data lengkap akan dikongsikan pada pukul 10 pagi keesokan harinya.

Perkembangan terkini pandemik itu akan dikeluarkan bersama data untuk kategori lain seperti penggunaan katil, bilangan pesakit di unit rawatan rapi dan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

”Perubahan ini berkuat kuasa mulai esok dan seterusnya dengan jumlah kes harian bagi Jumaat hanya akan dikeluarkan pada pagi Sabtu,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau,  perubahan ini bagi memberikan gambaran jelas tentang situasi semasa jangkitan Covid-19 dalam negara secara keseluruhan termasuklah kemasukan pesakit ke hospital dan bilangan kematian harian.

“Ini adalah perubahan cara kita fikir daripada tengok kes harian 20,000 atau 30,000. Ini untuk kita mengurangkan ‘fear factor‘ kes harian dan ia perubahan budaya. Berhenti melihat kepada (kes harian), tetapi kita melihat bersama dengan semua data,” katanya dalam sidang media di sini.

Jelas Khairy, perincian matrik dan data seperti ini dapat membantu rakyat memahami keadaan sebenar mengenai situasi Covid-19.

Kata Khairy, cara laporan perkembangan kes harian ini dipraktikkan oleh negara-negara luar.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Helpdesk secara fizikal di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara berperingkat demi menyelesaikan isu berbangkit melibatkan MySejahtera.

“Boleh datang ke Helpdesk fizikal, yang virtual sudah pasti kita akan teruskan. Ini untuk selesaikan isu ada yang tunggu lama dapatkan sijil vaksinasi.

”Jadi kita mesti selesaikan, kita mulakan di PPV WTC, KL. Selepas itu di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) dan kita akan perluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette