Home Nasional KPDNHEP pantau harga barangan semasa PRN Johor

KPDNHEP pantau harga barangan semasa PRN Johor

Datuk Rosol Wahid (kanan sekali) memantau dan memeriksa harga ayam di BS Freshmart Kuantan, hari ini

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau harga barangan  semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika berlaku pencatutan.

“Kadang ada peniaga ambil kesempatan menaikkan harga semasa musim PRN Johor,” katanya selepas melakukan tinjauan bekalan barangan keperluan pengguna di pasar raya BS Freshmart, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol memberitahu, semua lokasi pusat jualan barang keperluan, sama ada di bandar atau luar bandar, akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, pengguna perlu mendapat perkhidmatan yang terbaik untuk barangan keperluan harian mereka.

“Jika dapat aduan harga ayam melebihi harga siling, pengguna boleh buat aduan terperinci menerusi Whatsapp atau terus ke pejabat KPDNHEP.

“Apabila sudah digazetkan harga, semua peniaga wajib mematuhi harga, dan harga ini dikaji semua aspek, jadi tiada alasan untuk menaikkan kos seperti logistik dan sebagainya,” ujarnya.

Tinjauan Datuk Rosol Wahid dan pihak Kementerian Perdagagan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati bekalan telur mencukupi di kawasan luar bandar KuantanSementara itu, pasar raya BS Freshmart akan menawarkan ayam pada harga RM7.69 seekor esok menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

Rosol berkata, ia merupakan sebagai sebahagian sumbangan pemilik pasar raya kepada masyarakat.

“Harga yang ditawarkan jauh lebih murah dan mematuhi harga kawalan yang ditetapkan, dan esok harga lagi murah kepada RM7.69 seekor.

“Bekalan barang GMT seperti tepung, minyak, telur juga mencukupi dan peniaga patuh pada harga kawalan,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati barangan keperluan di pasar raya tersebut mencukupi dan difahamkan harga bagi ayam dan barang basah lain mengikut harga pasaran setiap hari. – MalaysiaGazette