Home Nasional Lelaki Iraq didakwa bunuh wanita Somalia

Lelaki Iraq didakwa bunuh wanita Somalia

Lelaki warga Iraq didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahan membunuh seorang wanita Somalia dalam kejadian pada 13 Februari lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Iraq telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita warga Somalia dalam kejadian pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ali Ahmed Abdullah Al-Maghazachi, 25, selepas kertas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Tertuduh yang berkemeja biru tanpa kolar dan berseluar jeans biru dibawa ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari di belakang oleh tiga anggota polis dan tidak diwakili peguam.

Jurubahasa terpaksa membacakan kertas pertuduhannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sebelum tertuduh hanya mengangguk kepala sebagai tanda memahaminya.

Mengikut fakta pertuduhan, Ali Ahmed yang juga warga Iraq didakwa telah membunuh Dahabo Omar Ali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 13 Februari lalu pukul 11.46 pagi di hadapan sebuah premis di Jalan Memanda 1, Taman Dato Ahmad Razali.

Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dakwaan membunuh yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.

Timbalan pendakwa raya yang mengendalikan pendakwaan berkenaan, Nurul Ameera Sam Kamaruddin memohon mahkamah supaya memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi.

Normaizan telah menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Terdahulu pada 14 Februari lalu, media melaporkan seorang lelaki warga Iraq ditahan polis selepas menjadi suspek utama pembunuhan wanita Somalia itu.

Lelaki itu dicekup oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pukul 11.20 malam pada 13 Februari lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran ditahan di Jalan Ampang Putra hasil risikan pihaknya.

Menurutnya, suspek juga telah disahkan sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).- MalaysiaGazette